Thursday, 6 January 2011

Kepahaman Islam Datuk Muhammed Khusrin

Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya telah mengikuti pergerakan kumpulan terbabit sejak dua tahun lalu dan setelah memperoleh cukup bukti mengaitkan mereka sebagai pengikut ajaran Syiah yang tegar, barulah markas itu diserbu. Beliau berkata, ajaran Syiah jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara kerana pengikut yang fanatik menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir.
"Bagi mereka, darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dibunuh.
"Ajaran Syiah lebih bahaya berbanding ajaran sesat seperti Al Arqam. Pengikut Syiah di Iran dan India misalnya bergaduh sesama Islam semata-mata berbeza fahaman.
"Inilah yang ingin dielakkan berlaku di negara ini dan tujuan ia disekat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.
Muhammed Khusrin berkata, mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.
Katanya, antaranya adalah menyanjung sahabat Rasulullah, Saidina Ali secara keterlaluan, menghalalkan nikah mutaah, menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah sekalipun hadis Mutawir dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah.
"Penyelewengan dari sudut syariah pula adalah menolak ijmak ulama, qias dan mengamalkan nikah mutaah. Pengikut Syiah juga terlibat pelbagai penyelewengan umum seperti percaya ganjaran syurga jika menziarahi kubur Saidina Husin.
"Selain itu menyiksa diri dengan memukul badan menggunakan rantai sehingga berdarah sempena 10 Muharam, mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan dan tidak mewajibkan haji," katanya.
Menurut Muhammed Khusrin, pihaknya percaya ajaran Syiah yang memudahkan ibadat dan menghalalkan nikah mutaah menjadi punca tarikan umat Islam di negara ini untuk menjadi pengikutnya.
Beliau berkata, kumpulan ajaran sesat terbabit mempunyai dana sendiri bagi membiayai aktiviti dan menyewa bangunan untuk dijadikan markas operasi, manakala penyebarannya pula dibuat secara tertutup melalui penganjuran majlis-majlis tertentu.
Katanya, semua yang ditangkap akan didakwa di bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan arahan-arahan yang dinyatakan dan diberikan fatwa oleh pihak berkuasa agama. utusan

2 comments:

  1. Tengok diri sendiri adalah lebih baik lagi , jangan selalu mengatakan orang lain tak baik

    ReplyDelete
  2. Kalau diMalaysia sanjung Raja Gopal secara melebih bagaimana pula ?
    Itu mazhap apa pula , Ahli sunnah ke ? .

    ReplyDelete