بسم الله الرحمن الرحيم
PENGERTIAN USRAH
Perkataan USRAH berasal dari kalimah Bahasa `Arab yang bererti keluarga. Penggunaan istilah ini (USRAH), pada umumnya adalah untuk menunjukkan adanya hubungan atau ikatan persaudaraan sesama manusia sama ada dalam hubungan rumahtangga, darah keturunan, suku bangsa atau puak.
Dalam kontek Harakah Islamiyyah: “USRAH bererti satu unit keluarga yang diikat oleh kesatuan `Aqidah ( kesatuan keimanan ), kesatuan pemikiran (fikrah), kesatuan kesedaran tentang persamaan sejarah dan nasib dan kesatuan cita-cita perjuangan untuk bekerjasama dan bantu-membantu memperkukuhkan jama`ah Islam dari berbagai sudut bagi membolehkan kerja-kerja `amal jama`i dan amal Islami dilaksanakan dengan teratur sehingga tertegaknya Daulah dan Khilafah Islamiyyah.”
Berdasarkan ta`rif di atas dapatlah difahami bahawa USRAH dalam kontek gerakan kita, bukanlah bermakna keluarga dalam pengertian yang sempit dan terbatas kepada ikatan kelompok tertentu. Sebaliknya USRAH yang kita maksudkan adalah keluarga yang diikat dengan ikatan yang lebih kukuh dan lebih khusus.Ikatan yang mengatasi sempadan bangsa dan keturunan. Itulah ikatan `AQIDAH, yang merupakan ikatan yang paling bersih dan paling mulia, kerana `Aqidah inilah yang menjadi kayu ukur bagi menentukan kebenaran sesuatu sistem dan matlamat hidup manusia.
Oleh yang demikian kewujudan setiap unit USRAH dalam jama`ah kita adalah dengan tujuan, cita-cita dan matlamat yang jelas dan terang. Matlamat kita adalah untuk mencapaikan seluruh tujuan keIslaman yang mulia, bagi kemaslahatan dan kebahagian hidup di dunia dan di Akhirat kelak.
Harakah Islamiyyah akan memperolehi keuntungan yang besar jika anggota-anggotanya terdiri dari orang-orang yang mempunyai kefahaman Islam yang baik, memiliki syakhsiyyah yang mulia dan menarik, memahami tata cara bergerak dalam jama`ah Islam, mampu membawa fikrah jama`ah dan yang paling utama ialah berpegang teguh dan beriltizam dengan manhaj pergerakan yang telah diputuskan oleh jama`ah. Memandangkan semua perkara di atas adalah merupakan bekalan dan syarat-syarat yang sangat bermakna kepada jama`ah, maka anggota-anggota jama`ah Islam wajib mengambilnya secara langsung dari pimpinan jama`ah yang bertanggungjawab menyediakannya melalui program-program tarbiyyah jama`ah. Salah satu dari institusi tarbiyyah yang penting ialah USRAH.
TUJUAN USRAH
1. Mendidik hati para anggota untuk menjadi manusia yang taat kepada Allah SWT.
2.
3. Menghubungkan anggota secara langsung dengan ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah.
4. Mengiltizamkan anggota dengan akhlak Al-Quran supaya dapat mematuhi perintah Allah dan larangannya.
5. Menjadikan Rasul dan para sahabat sebagai ikutan dalam kehidupan seharian
6. Melatih supaya berfikiran dan bertindak selari dengan apa yang telah diajar oleh Allah dan Rasul
7. Sentiasa bermulazamah dengan Al-Quran dan Hadith
8. Melahirkan keikhlasan kepada Allah dalam setiap amalan
9. Membentuk peribadi keluarga dam masyarakat Muslim
10. Merapatkan ukhwah dan kasih sayang di kalangan anggota
11. Menghidupkan budaya nasihat menasihati di kalangan anggota
12. Menanamkan semangat cintakan agama Allah
13. Meningkatkan motivasi ahli yang menyertai usrah. Manusia hidup dengan cita-cita, harapan dan kepercayaan yang diyakini. Penekanan yang tepat kepada konsep keimanan kepada Allah dan Rasul akan melahirkan iltizam serta pengorbanan yang bersungguh-sungguh dan tidak mengenal erti kecewa.
Bersambung……………………….
No comments:
Post a Comment