Tuesday, 16 November 2010

Hindu Pula Ajak Orang Islam Jaga Ibu Bapa

Akta Perlindungan Ibu bapa bagi menjaga kebajikan warga emas

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Kerajaan diminta menubuhkan akta baru, Akta Perlindungan Ibu bapa bagi mewajibkan anak-anak yang berusia 21 tahun ke atas dan mula bekerja membayar nafkah hidup kepada ibu bapa masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, langkah itu akan membantu mengurangkan masalah pengabaian warga emas yang kian meningkat di negara ini.
Menurutnya, jumlah pusat perlindungan warga tua di negara ini menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun.
Selain itu, katanya, jumlah wang kebajikan yang dihulurkan kepada warga emas juga meningkat jika dibandingkan tahun-tahun sebelum ini.
''Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan supaya mewajibkan setiap individu yang berusia 21 tahun ke atas dan mula bekerja untuk melakukan tanggungjawab ini.
''Mereka harus membayar sekurang-kurangnya RM100 kepada ibu bapa mereka. Setiap anak harus menunaikan tanggungjawab itu walaupun keluarga itu mempunyai ramai adik-beradik,'' katanya ketika menghadiri program Biro Pengaduan Awam (BPA) di ibu pejabat MIC di sini hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga boleh memperkenalkan alternatif bagi mewajibkan golongan anak-anak menunaikan tanggungjawab itu dengan membuat potongan gaji RM100 sebulan dan memasukkan terus ke akaun ibu bapa.
''Akta sedemikian telah pun diperkenalkan di Jepun dan mendapat sambutan agak menggalakkan sehingga jumlah rumah kebajikan warga emas menunjukkan penurunan drastik.
''Singapura, India dan China sedang mengkaji akta ini dan mungkin akan melaksanakannya dalam beberapa bulan lagi,'' katanya.
Katanya, beliau percaya masalah tersebut bukan berpunca daripada kos sara hidup yang tinggi sejak kebelakangan ini tetapi sikap anak-anak yang hanya mementingkan diri sendiri.
''Golongan yang telah pun berkahwin tidak lagi menghiraukan ibu bapa dan hanya mementingkan keluarga barunya itu.
''Apa salahnya memberi sekurang-kurangnya RM100 kepada ibu bapa yang telah mengabdikan hidup untuk membesarkan dan mendidik anak-anak sehingga berjaya,'' katanya. utusan

No comments:

Post a Comment