Beliau yang diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, tiba di perkarangan masjid itu kira-kira jam 8.30 pagi dan disambut Imam Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni, yang mengimamkan solat sunat tersebut.
Dalam khutbahnya, khatib mengingatkan hadirin bahawa lafaz talbiah yang menyeru masyarakat kembali dan berkorban untuk Islam telah memberi kesedaran bahawa agama Islam menjadi asas kekuatan umat di negara ini.
Katanya, kelemahan dalam mempertahankan Islam akan menjerat bangsa menjadi bangsa yang tiada identiti dan jati diri.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam mengambil kesempatan sempena Hari Raya Korban, untuk membina keutuhan tali persaudaraan serta bermaaf-maafan, lebih-lebih lagi dalam menangani isu membabitkan agama serta masa depan umat Islam.
“Maka, sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang ekonomi, miskin atau kaya, dan perbezaan latar belakang fahaman atau politik.
“Buang yang keruh, ambillah yang jernih, ketepikanlah segala perbezaan tersebut,” katanya.
Selesai menunaikan solat, Perdana Menteri mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat, sebelum bertemu dengan mereka yang sudah berbaris untuk bersalaman dengannya.
Najib kemudian menziarah, bertahlil, berdoa dan menyiram air mawar di pusara ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. - Bernama
No comments:
Post a Comment